*
Your Ad Here
Pages: [1]   Go Down
Author Topic: Petua Kaki Pancing:Utusan Malaysia  (Read 708 times)
antoo
Newbie
*

Karma: +0/-0
Offline Offline

Gender: Male
Posts: 16



« on: 05 August, 2009, 11:43:49 PM »

kepada kaki2 pancing yang selalu dapat ikan pasar...heheheh Tongue Jangan malu2 dan segan untuk mencuba petua2 untuk mendapat ikan fresh...dan yang pasti bukan ikan pasar.


Petua ustaz mengenai ikan merah

LAIN orang lain ragam dan lain orang juga lain petuanya. Menurut pendakwah bebas, Daud Che Ngah, ketika mengail di perairan Labuan, ada petua tertentu yang diamalkan oleh orang di sana. "Saya tidak pasti bagaimana ikan berkomunikasi tetapi menurut rakan dari Labuan, jika ikan merah meragut umpan dan berjaya dinaikkan, jangan sekali-kali memegang ikan itu. "Kalau sayang sekali pun pada tali pancing anda, potong saja talinya dan pasang mata kail baru. Kalau anda memegang ikan merah itu, tidak akan ada lagi ikan merah yang akan dinaikkan selepas itu," katanya. Ustaz Daud berkata, mungkin ketika menggelupur ada isyarat bunyi tertentu yang dihantar kepada ikan merah lain di air. Ikan merah bergerak berkumpulan, jadi apabila seekor berjaya dikail mungkin ada ikan lain menyedari ia kehilangan 'rakan'. "Kuasa Allah semuanya boleh berlaku dan tidak sampai pada pemikiran kita," kata Daud yang sentiasa membawa ke mana sahaja joran apabila ke luar daerah. Beliau juga pernah memancing di perairan Pangkor.

 
Berkat dapat izin sebelum mengail

PETUA kaki pancing Terengganu, Alwi Ali, 52, iaitu pastikan setiap kali keluar rumah untuk memancing ialah beritahu isteri atau keluarga, begitu juga majikan. Selain itu, pastikan semua urusan dibereskan. "Jangan meninggalkan masalah di rumah. Ini termasuk meninggalkan duit belanja dan keperluan sekolah anak-anak," katanya yang turut menasihatkan kaki pancing supaya memperolehi umpan di laut kerana ia adalah umpan segar dan yang terbaik untuk ikan di situ. Pilihlah sotong, kembung atau selar sebagai umpan, katanya. Mengenai awan, Alwi berkata, awan hitam pekat biasanya akan membawa bersama ribut dan hujan tetapi dalam masa yang singkat. Dalam tempoh sejam ia akan reda dan kembali tenang. "Ribut ini datang bersama angin dari arah barat laut dan muncul secara tiba-tiba," katanya sambil menasihatkan jika awan hitam kelihatan, pemancing perlu segera kembali semula ke darat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini. Ketika ribut, kilat turut memancar dan kelihatan seolah-olah mencecah permukaan laut. Lazimnya ribut ini berlaku pada Jun, Julai dan Ogos.
 
Awan sejengkal, ribut akan tiba

SEBAGAI kaki pancing yang sering berada di laut, anda berdepan risiko dilanda ribut. Ia yang datang secara tiba-tiba biasanya membahayakan pemancing terutama yang menaiki bot kecil. Oleh itu, sebagai kaki pancing, anda wajar mengetahui jangka masa ribut akan tiba di lokasi anda. Ini penting untuk membolehkan anda membuat keputusan sama ada berlindung di pulau atau kembali ke pantai. Menurut, Adnan Osman yang berasal dari Langkawi, Kedah, jika anda nampak awan hitam separas dengan laut ia bermakna ribut masih jauh dan memakan masa yang panjang sebelum tiba di tempat anda. Dalam keadaan ini, biasanya anda masih mempunyai masa kembali ke pantai. Tetapi jika awan hitam berada pada paras sejengkal atau lebih daripada paras laut, ribut berkenaan sudah begitu hampir. Oleh itu, segera berhenti memancing kerana ribut akan tiba dalam masa tidak sampai satu jam. Anda perlu segera mencari tempat berlindung. Pastikan anda memakai jaket keselamatan. Oleh itu, jika anda menggunakan bot kecil dengan kelajuan rendah anda patut berwaspada apabila berdepan dengan keadaan ini. Justeru anda dinasihat supaya kerap memerhatikan awan berdasarkan tips di atas. Jangan kerana leka memancing, anda lupa soal keselamatan diri sendiri.

 
Kekalkan Ikan Segar

BAGI kaki pancing, apabila keluar memancing, tong air batu atau tempat Menyimpan ikan ibarat satu kewajiban. Jika tidak, ikan yang dikail cepat busuk. Ada beberapa tips untuk mengekalkan kesegaran ikan. Pertama, menggunakan uncang jaring. Uncang biasa digunakan jika memancing di kawasan berhampiran rumah. Ikan yang dikail dimasukkan ke dalam uncang jaring dan direndam semula ke dalam air bagi membiarkan ikan itu terus hidup. Bagaimanapun saiz ikan terhad kepada yang kecil (kurang lima kilogram). Ikan bersaiz besar tidak sesuai dimasukkan ke dalam uncang jaring kerana jika meronta, jaring koyak dan ikan terlepas. Cara kedua dan paling biasa digunakan ialah kotak air batu. Ia paling banyak digunakan terutama jika memancing di laut untuk dua atau tiga hari. Ikan yang dikail terus dimasukkan ke dalam tong air batu supaya sentiasa segar walaupun sudah mati. Ada banyak saiz dan kualiti kotak menyimpan ikan yang diperbuat daripada gentian kaca atau plastik. Jadi berhati-hatilah jika membelinya. Biar alah membeli, menang memakai. Cara ketiga banyak diamalkan oleh pemancing yang pergi ke hutan lebih empat hari. Untuk membawa tong ikan adalah tidak praktikal kerana sukar mengangkutnya. Oleh itu, ikan yang dipancing perlu disiang termasuk membuang perut dan insang sekali. Sebaik-baiknya ikan yang disiang dielak daripada terkena air. Ikan yang sudah disiang ditabur sedikit garam sebelum disimpan di dalam bekas simpanan, biasanya tin biskut. Selain itu, ada pemancing memasukkan surat khabar di dalam perut ikan yang disiang bagi mengelakkan ia menjadi busuk. Cara keempat ialah dengan membunuh segera ikan yang diperolehi. Cara ini banyak diamalkan terutama Amerika Syarikat, Kanada dan sebahagian Eropah. Caranya ialah membunuh ikan secara mengejut menggunakan besi tajam. Ikan itu dibunuh dengan menghentak besi tajam di bahagain kepala iaitu antara mata ikan berkenaan (di mana terletaknya otak). Dengan sekali hentakkan, besi tajam tadi akan menembusi tengkorak dan mencederakan ikan. Rasional cara ini ialah ikan yang mati secara perlahan akan mengeluarkan sejenis hormon dari otak. Hormon ini bertindak sebagai perangsang untuk mempercepat proses pereputan protein. Jadi, jika ikan mati secara mendadak, otak ikan tidak sempat merangsang pengeluaran hormon berkenaan. Bagaimanapun, cara ini hanya digunakan ke atas ikan yang besar sahaja. (Sumber rujukan: Majalah Wawasan Pertanian).

Ikan kecil panggil ikan besar

KAKI pancing wajar mengetahui etika memancing. Misalnya, pemancing hanya perlu mengambil hasil tangkapan yang besar dan diperlukan saja manakala ikan kecil dan tidak diperlukan dilepaskan semula, terutama bagi spesies ikan yang hampir pupus. Amalan ini bukan sahaja dapat mengekalkan spesies ikan tertentu pada masa depan malah bersesuaian dengan petua orang tua. Selain tidak bertindak kejam ia juga dikatakan akan membolehkan kita mendapat tangkapan yang banyak dan besar. Menurut Rahmat Mohd Nazim, 36, dari Pekan, Pahang, ada orang tua berpesan jika pemancing dapat ikan kecil, kita perlu lepaskan semula. Jangan dianiaya. "Untuk mendapat ikan yang banyak, kita boleh minta anak ikan berkenaan memanggil ikan yang lebih besar untuk tangkapan kita. Kemudian kita bebaskan ikan itu ke laut. Insya-Allah jika ada rezeki kita akan dapat tangkapan lebih besar," katanya ketika mengunjungi Balai Joran, baru-baru ini. Menurut Rahmat, ramai yang mengamalkan petua itu pernah mendapat tangkapan lumayan. Walaupun petua ini tidak semestinya menjadi kenyataan, namun yang penting amalan ini menjadikan pemancing lebih beretika.

 
Ekor sembilang penawar bisa

USIANYA yang sudah melepasi setengah abad tidak menggambarkan Yusof Abdul Raof patah semangat dalam aktiviti hariannya sebagai seorang pengusaha makanan di sebuah gerai di Petaling Jaya, Selangor. Apa yang tersirat dalam hatinya, manusia ini seharusnya terus berusaha dalam apa jua bidang yang diceburi termasuk pelbagai kegiatan di masa lapang. Yusof, 58, atau lebih dikenali dengan panggilan Raja Sembilang sentiasa bersyukur atas kebolehan luar biasanya sebagai seorang pemancing yang tidak pernah pulang dengan tangan kosong. Kegemaran memancing yang sudah tertanam di jiwanya sejak berusia 10 tahun itu membolehkan Yusof mendapat gelaran Raja Sembilang kerana beliau memang penganyir dan pakar memancing ikan berkenaan. Tanpa mahu merahsiakan kepakaran luar biasa itu, Yusof secara spontan berkata, apa bidang sekalipun seseorang itu mestilah berilmu selain daripada kemahiran semula jadi. "Saya mengaku, mempelajari segala petua dan cara-cara memancing sembilang ini daripada seorang tua di kampung saya, tetapi sekadar kegunaan sendiri aja..." senyumnya menampakkan keikhlasan. Bagaimanapun beliau terpaksa berpegang kepada segala janjinya iaitu tidak boleh makan ikan berkenaan tetapi sekadar memancingnya saja dan jika hasil tangkapan itu lumayan hendaklah dibahagi-bahagikan kepada mereka yang memerlukannya. Jika beliau melanggar pantang larang ini, ini bermakna tangkapan spesies berkenaan tidaklah sebanyak mana kebiasaan yang diperolehi tetapi sekadar untuk sekeluarga saja. Yusof tidak menyimpan rahsia cara mengenali lubuk sembilang. Pemancing tambahnya, perlu memerhatikan buih-buih yang mungkin dapat dilihat pada permukaan air ketika air besar. Jika buih-buih kelihatan sudah pasti kawasan itu mengandungi banyak sembilang dan tidak akan menghampakan selain ikan ini mudah di kail ketika air mula pasang dan pada waktu surut. Pemancng juga mudah menghasilkan tangkapan ikan ini jika air teres iaitu ketika air surut mirip kepada lopak-lopak air kawasan menghampiri persisiran pantai. Yusof menunjukkan jari dan sebahagian daripada lengannya sambil tersenyum berkata: "Lihat tangan dan jari ini sudah lali dan kebas kerana bisa ikan sembilang. "Pemancing tentu lebih maklum, sengat sembilang bisanya bukan kepalang menjalar hingga ke jantung dan jika rawatan segera tidak diberi pemancing pasti pengsan malah lebam seluruh badan. "Tangan saya ni" sambil menunjukkan berulang kali "tebal kulitnya, bahagian jari ni sudah kematu terkena sengat. "Saya kurang pasti ada yang mengatakan bisa ikan ini akan susut selepas tujuh kali air pasang dan surut. Tetapi bagi saya cara menghilangkan biasanya mudah aja iaitu gigit saja ekor ikan ini sekuat-kuatnya, hingga bisa beransur susut" wajah Yusof membayangkan kebenarannya.
Logged

tQ n wassalamm
Golfer

KLIA-COMMUNITY
   

 Logged
Pages: [1]   Go Up
Print
 
Jump to:  

TinyPortal v1.0 beta 4 © Bloc
Powered by SMF 1.1.11 | SMF © 2006-2009, Simple Machines LLC | Theme PS-Black By Fussilet

Page created in 0.152 seconds with 38 queries. (Pretty URLs adds 0.006s, 2q)